KUALA LUMPUR: Ahli Pas tidak perlu terpalit dengan gelaran ‘walaun’ (penyokong tegar) selagi mereka tidak menjadi ‘malaun’ (dilaknati), kata Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya.
Beliau berkata, kesetiaan dan kepatuhan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan amat penting dalam usaha parti itu mencapai kemenangan serta menuju ke Putrajaya.
“Biarlah kita digelar dengan 'walaun'. 'Walaun' tidak menjadi masalah, jangan 'malaun'. Bila keputusan sudah dibuat, ketaatan dan walak merupakan suatu yang sangat penting dalam jemaah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kesetiaan kepada kepimpinan perlu diterjemahkan melalui tindakan selepas sesuatu keputusan dicapai secara musyawarah.
Menurutnya, kesatuan hati dan kepatuhan dalam kalangan ahli menjadi asas penting sekiranya Pas benar-benar bersedia untuk memerintah negara.
“Andainya ini dipelihara, dalam kesediaan kita untuk menuju ke Putrajaya serta membicarakan kemenangan dan memerintah negara, 'walak' (ketaatan) adalah suatu yang sangat penting,” katanya.
Beliau turut mengimbau ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti itu di Johor yang pernah menyuarakan kebimbangan mengenai ahli yang mendakwa berada di belakang kepimpinan tetapi tidak membuktikannya.
“Ramai yang berbicara dan menyebut, ‘kami berada di belakang Tuan Guru Presiden’.
“Tapi Tuan Guru menyebut, ‘kebimbangan saya ialah apabila melihat ke belakang, tidak ada orang’. Masing-masing menyebut bersedia berada di belakang, tetapi apabila berpaling, tidak ada orang. Jangan begitu,” katanya lagi.
Justeru, Ahmad menyeru ahli Pas memberikan kepatuhan dan kesetiaan tertinggi kepada kepimpinan dalam menempuh jalan menuju kemenangan.