KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau boleh sahaja meletakkan tanggungjawab di bahu 'poster boy' susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memilih untuk tidak berbuat demikian kerana mahu memastikan parti bergerak ke hadapan dan  bukan terus mencari kesalahan.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid mengakui, kekalahan BN juga telah mengundang pelbagai pandangan, desakan serta kecaman.

Pada PRU15, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri ketika itu dijadikan 'poster boy' bagi BN untuk menghadapi PRU15.

"Kita boleh sahaja menggariskan pelbagai alasan dan punca dengan menuding jari ke sana sini. Akan tetapi, janganlah kita menjadi telunjuk lurus kelingking berkait.

"Saya boleh sahaja menggariskan; adanya kempen pilihan raya calon kita memburukkkan partinya sendiri. UMNO katanya parti korup, UMNO sudah rosak, sudah sesat dan pelbagai nista dilemparkan.

"Sehingga ucapannya dijadikan modal pihak pembangkang menyerang kembali UMNO. Boleh juga saya menyebut, poster boy. poster boy perlu bertanggungjawab sepenuhnya, kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU15.

"Jika ini hendak dijadikan polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari kesalahan," katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Pada PRU15, UMNO hanya memenangi 30 kerusi Parlimen.

BERITA LANJUT MENYUSUL