Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bekerja sepanjang tahun dan bukannya bermusim menjelang pilihan raya umum (PRU) sahaja bagi memastikan parti gabungan itu terus relevan di negara ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata parti komponen perlu mencontohi gerak kerja yang diatur UMNO yang terbukti berhasil sewaktu PRU ke-13 apabila meraih banyak kerusi bagi memastikan BN terus berada di hati rakyat.

"PRU ke-13 bukti kejayaan UMNO. Tapi kejayaan BN pastinya akan lebih besar jika parti komponen turut memainkan watak yang sama tapi malangnya kecundang. Oleh itu, PRU ke-14 patut jadi pengajaran supaya episod yang sama tidak berulang dan pastinya boleh mendapat kejayaan dua pertiga.

"Parti komponen perlu ikut cara UMNO bekerja dan bukannya bermusim. Jangan bekerja apabila PRU sudah dekat, kena sentiasa berterusan dan ada program mendekati masyarakat sepanjang tahun.

"UMNO sudah ada Program Skuad Sayang di kem Wanita, pengambilan ahli baru, acara sukan bermacam-macam lagi. Seharusnya program-program seperti ini diadakan dengan lebih kerap oleh parti komponen," katanya.

Bercakap kepada Bernama dan UMNO Online di sini hari ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata parti komponen juga boleh menyemak balik senarai ahli daftar pemilih dan memastikan kesahihan ahli termasuk membuat kajian sikap untuk mengenal pasti ahli dan pemilih yang menyumbang kejayaan kepada parti.

Berkongsi pengalaman sejak menceburi dunia politik kira-kira 40 tahun lepas, Tajuddin berkata parti komponen baik di peringkat atasan mahu pun di akar umbi perlu kembali kepada asas perjuangan termasuk mengenal pasti apa masalah pengundi di kawasan mereka bagi memastikan 'kapal' mereka terus relevan.

"Saya ada terima laporan yang mana ada pemimpin parti komponen yang tidak ambil kisah kepada parti selepas dilantik menjadi pemimpin atau wakil rakyat. Ada yang cuma menjaga kaum tertentu dan abaikan kaum yang lain.

"Apabila kita tidak ambil perhatian dan peduli masalah pengundi, parti komponen dan BN akan menjadi tidak relevan dan pengundi akan 'berpindah' ke kapal lain. Jadi komponen parti kena tunjuk kenapa mereka masih relevan kerana kesannya akan diterima BN secara keseluruhannya," katanya.

Tajuddin turut memberikan nasihat khasnya kepada pemimpin muda parti komponen supaya jangan melenting apabila ditegur pemimpin UMNO khasnya di peringkat tertinggi dan mereka yang berpengalaman luas dalam politik.

"Apabila tidak boleh ditegur, itu satu penyakit dan boleh jadi wabak dalam BN dan komponen parti itu kerana mereka tidak mahu bangkit dan akan kekal di standard yang sama," katanya.

Pada 6 Mei 2013, parti gabungan penyandang BN mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dan kerusi yang selebihnya jatuh kepada gabungan Pakatan Rakyat.

Daripada 133 kerusi dimenangi BN, UMNO mendapat jumlah tertinggi iaitu 88 kerusi, diikuti MCA (tujuh), MIC (empat), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) (satu), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) (14), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (satu), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) (empat), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (enam), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) (tiga), Parti Bersatu Sabah (PBS) (empat), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) (satu) dan tiada kerusi dimenangi Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Progresif Penduduk (PPP). -Bernama