POLITICS
BN perlu jawab sebarang isu tular dalam tempoh tiga jam - Ahmad Zahid

Barisan Nasional (BN) perlu menjawab sebarang isu yang tular di media sosial terutamanya persepsi negatif mengenai parti itu dalam tempoh tiga jam, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu menjawab sebarang isu yang tular di media sosial terutamanya persepsi negatif mengenai parti itu dalam tempoh tiga jam, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu isu tular terutama persepsi negatif dijawab dalam masa tiga jam untuk elak kerosakan imej parti.
- Beliau menekankan keperluan jentera politik moden, penggunaan data, dan komunikasi berkesan dalam menghadapi PRU16.
- BN digesa bangkit dengan politik harapan dan naratif baharu yang fokus kepada isu rakyat seperti kos sara hidup dan masa depan anak muda.
"Media sosial mesti digunakan sebagai asas utama dan sebarang isu terutamanya persepsi negatif mesti dijawab dalam tempoh tiga jam, kita (sebelum ini) menjawab selepas tiga hari, kadang-kadang lepas 30 hari, ini telah terlekat di minda rakyat walaupun adakalanya tidak betul (persepsi)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada program Better Nation BN Forum keempat bertajuk 'Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura, Australia' di sini malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN perlu mempunyai jentera politik moden dan dinamik, yang bijak menggunakan data serta mewujudkan komunikasi dua hala.
Selain itu, beliau berkata BN juga perlu bangkit dengan politik harapan (politics of hope) dan mampu memimpin dengan kestabilan serta dasar sesuai bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
"Politik intelektual mesti diwujudkan kerana rakyat semakin celik dan mahu politik yang mempunyai isi. Kunci kejayaan parti adalah pemulihan terhadap kepercayaan bukan sekadar menambah undi, selain memerlukan model politik pascapolarisasi," katanya.
Beliau berkata BN juga perlu belajar daripada keputusan PRU di Kanada, Singapura dan Australia yang menyaksikan parti membentuk kerajaan adalah parti yang berdepan dengan pelbagai cabaran namun kekal memerintah.
"Kemenangan ini berlandaskan kepada pendekatan berbeza bukan lagi pendekatan yang konvensional dan konservatif, mereka tidak boleh lari daripada menggunakan sosial media sebagai mod komunikasi," katanya.
Tambah beliau BN juga perlu membina naratif baharu yang menyentuh keresahan rakyat terutamanya soal kenaikan harga barang, perumahan, pekerjaan dan masa depan anak-anak.
Ahmad Zahid berkata keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat bukan hanya retorik tetapi perlu diterjemahkan menerusi agenda yang mesti dilaksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami