POLITICS
Cadangan mansuh benarkan ahli baharu PKR bertanding akan dibincang - Anwar

Anwar Ibrahim menjawab soalan pemberita semasa hadir pada Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional PKR 2025 di sini hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Cadangan supaya kuasa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membenarkan ahli baharu bertanding dalam pilihan raya dan pemilihan parti dimansuhkan akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat parti, kata Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perbincangan mengenai kuasa Presiden PKR: Cadangan untuk memansuhkan kuasa Presiden PKR dalam membenarkan ahli baharu bertanding akan dibawa ke mesyuarat parti, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak mahu mempersulitkan proses pemilihan.
- Saranan daripada Timbalan Presiden PKR: Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan supaya kuasa tersebut dimansuhkan sepenuhnya bagi mengelakkan parti dibanjiri individu yang hanya mengejar jawatan, namun keputusan masih dalam perbincangan.
- Kehadiran Rafizi pada Kongres Nasional PKR: Anwar menjangkakan Rafizi akan hadir ke perasmian kongres atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden, menekankan peranannya yang tetap aktif dalam mesyuarat kerajaan dan pembentangan dasar ekonomi.
Anwar berkata kepada pemberita selepas selesai mengundi secara fizikal bagi pemilihan kepimpinan pusat parti di Berjaya Waterfront Hotel, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli menyarankan agar kuasa Presiden parti yang membenarkan ahli baharu bertanding dalam pilihan raya dan pemilihan parti dimansuhkan sepenuhnya bagi mengelak parti dibanjiri individu yang hanya mahukan jawatan.
Sementara itu, ditanya mengenai kehadiran Rafizi pada perasmian Kongres Nasional PKR malam ini, Anwar berkata beliau menjangkakan Menteri Ekonomi itu akan hadir atas kapasitinya selaku Timbalan Presiden PKR.
"Saya jangka lah kerana dia Timbalan Presiden, mesyuarat Jemaah Menteri pun dia datang, dia jalan kerja dengan baik seperti biasa bentang kertas kerja, (dan) ulas," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami