Gugup, takut dan teruja antara perasaan bercampur baur yang dialami calon pilihan raya ke-14 (PRU14) pada proses akhir melengkapkan borang pencalonan yang berlangsung di Dewan Seri Mentaloon, di sini siang tadi.

Antara yang berdebar adalah calon Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shahanim Mohamad Yusof yang pertama kali melakukan proses mengisi dan melengkapkan borang pencalonan.

Beliau merupakan calon tunggal wanita yang diberi kepercayaan menggalas amanah oleh pucuk pimpinan bertanding pada kerusi Parlimen P015 Sungai Petani.

"Debaran memang ada, tidak dinafikan. Tambah-tambah tempat itu 112,000 pengundi Sungai Petani dan Sungai Petani sendiri dikatakan kawasan hitam dua penggal iaitu sepuluh tahun di bawah pembangkang.

"Saya rasakan apabila kita sudah berkhidmat dalam UMNO selama 17 tahun, ini peluang yang diberikan kepada saya dan saya ambil satu amanah ini. Walaupun saya nampak sangat-sangat berat," katanya yang ditemui hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyerahkan watikah pencalonan kepada Datuk Ir Nawawi Ahmad bagi pencalonan Parlimen Langkawi selepas mengisi dan memeriksa borang penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Dewan Seri Mentaloon hari ini. - Foto Bernama

Shanim akan berhadapan dengan penyandang kerusi, Datuk Johari Abdul yang mewakili PKR.

Bagi calon baharu yang bertanding kerusi Parlimen P009 Alor Setar mewakili MCA, Datuk Yoo Wei How cara yang dilakukan BN negeri hari ini amat baik dimana mengumpulkan semua calon bertanding di satu tempat bagi melengkapkan semua borang calon.

Beliau yang teruja untuk menanti hari pencalonan tampak bersemangat untuk berkempen seterusnya memenangi kerusi yang dua penggal jatuh kepada DAP.

"Saya rasa pengundi Cina memang mempunyai kebijaksanaan untuk melihat dari banyak aspek siapa calon yang lebih boleh menolong mereka, siapa calon yang lebih mendekati mereka siapa calon yang lebih memahami mereka.

"Saya rasa kelebihan kita dari segi calon BN mempunya 'track record', kita semua anak jati Alor Setar kita beri perkhidmatan di sini tiga tahun, empat tahun dan lima tahun pejabat kita dibuka sejak dulu sehingga sekarang," kata Yoo.

Beliau menggalas mandat presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menginginkan semua calon mewakili parti tunjang kaum Cina itu merampas kembali kerusi daripada Pakatan Harapan.

Sementara itu bagi calon yang memasuki dua penggal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid pendekatan terbaru yang diambil Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ini amat baik dan tiada keciciran atau kesalahan dalam melengkapkan borang.

"Kita sangat teliti tentang soal soal teknikal soal peraturan peraturan yang ditetapkan oleh pihak SPR kerana kita tidak mahu dengan benda-benda teknikal ini akan menyebabkan kita hilang kelayakan untuk kita bertanding," kata Mahadzir.

Siang tadi kesemua calon BN Negeri Kedah bagi 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN selesai melakukan proses mengisi borang pencalonan di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.

Esok merupakan hari penamaan calon bagi PRU14 manakala hari pengundian pada 9 Mei ini.