Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini menyaksikan beberapa isu terus dilontarkan rakyat di daerah itu kepada calon-calon bertanding .

Tidak terkecuali, masyarakat Orang asli di Kampung Gantung Geriang yang mahukan penempatan lebih selesa serta dilengkapi kemudahan asas.

Menurut Ketua Kampung, Tom Busu, 63, keadaan rumah serta kemudahan asas di kawasan yang didiami lebih 100 keluarga itu perlu ditambah baik.

"Bagi saya kalau boleh saya hendak macam rumah (ditambah baik) sebab lama sudah saya duduk rumah sini. Saya nak macam rumah (Projek Perumahan Rakyat) PPR yang kerajaan bagi itu, sebab senang, ada kipas angin," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Malah jelas Tom yang tinggal di kampung berkenaan sejak tahun 1993, kini sudah masanya untuk wakil rakyat membela nasib penduduk di perkampungan itu.

Dari sudut pendapatan pula katanya, masyarakat Orang Asli turut memerlukan bimbingan dari wakil rakyat yang bakal dipilih.

"Semua masalah memang ada, saya sudah cuba minta Tok Batin dulu, tetapi dia cakap tidak cukup bajet jadi tidak boleh buat, jadi kata tidak boleh diam begitu sahaja," katanya lagi.

Justeru, harapannya agar keluhan masyarakat Orang Asli dari kaum Jakun itu didengari oleh wakil rakyat yang bakal dipilih pada 4 Julai depan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini menyaksikan 20,990 pengundi bakal memilih wakil rakyat mereka pada 4 Julai depan.