KUCHING: Dakwaan bekas Biskop Anglikan Kuching dan Brunei Datuk Bolly Lapok antara lain, bahawa jutaan ringgit diberikan kepada gereja di Sarawak kerana penglibatan secara langsung beliau dalam politik hanya merupakan tindakan mendabik dada, kata Timbalan ketua Menteri Amar Douglas Uggah Embas.

Menafikan dakwaan tersebut, Uggah, menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR), berkata dakwaan yang pelik untuk meraih populariti semata-mata menjustifikasi tindakannya menyertai pembangkang Parti Sarawak Bersatu (PSB).

"Kami tidak kisah langsung dia menceburi politik selepas bertahun-bertahun menabur bakti kepada Maha Esa. Tetapi kenyataan terbaru beliau kepada media tidak dapat diterima kerana langsung tidak mencerminkan siapa dia sebelum ini.

"Kenyataan tersebut sama sekali tidak bermaruah tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan semalam.

Bolly, yang bersara sebagai paderi pada 2017, menyertai PSB pada 11 Nov lalu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 berlangsung dan ramai pihak meramalkan beliau diletakan sebagai calon.

Bolly, bagaimanapun, dilaporkan berkata beliau akan hanya berkhidmat kepada parti sebagai 'utusan khas' untuk berkempen bagi calon PSB pada pilihan raya itu, 18 Dis ini.

Klik untuk dapatkan perkembangan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021 

BACA: PRN Sarawak: Penyertaan Bolly Lapok Sah ke PSB adalah hak masing-masing

BACA: PRN Sarawak: GPS tidak beri kemenangan mudah kepada pembangkang - Uggah

Pada Jumaat, portal berita dalam talian, 'The Vibes' memetik beliau sebagai berkata impak langsung penyertaannya dalam politik, berjuta-juta ringgit telah disalurkan kepada gereja di Sarawak dan sekolah mubaligh Anglikan telah memberi RM6 juta.

Mengulas isu ini, Uggah berkata untuk rekod, UNIFOR telah menyalurkan bantuan kewangan kepada gereja, kuil dan gereja kecil sejak penubuhannya pada 2017 dan kerajaan negeri telah sejak tahun lalu telah menambah peruntukan tahunannya kepada RM50 juta.

Menurutnya pada Oktober lepas, kerajaan negeri diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meluluskan peruntukan tambahan RM15 juta kepada sejumlah 127 sekolah mubaligh di seluruh negeri untuk menampung kos pentadbiran dan operasi khas.

Uggah berkata sejumlah RM5 juta lagi diperuntukkan untuk membantu kesemua rumah ibadat terbabit yang menyaksikan pungutan sumbangan mingguan daripada penganut tersebut terjejas secara drastik akibat sekatan pergerakan pandemik COVID-19.

"Bagi bekas paderi yang mempunyai pangkat tinggi, Datuk Bolly untuk mendakwa bahawa menyertai PSB telah menyebabkan bantuan yang ada adalah satu pengajaran bingung dan mengarut.

"Beliau hanya menyertai PSB pada November 2021. Sama ada beliau telah disalah petik atau adakah dia mengalami khayalan keagungan yang pelik," tambahnya.

-- BERNAMA