Pas tidak perlu melayan pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa untuk menubuhkan satu jawatankuasa menyiasat kesahihan audio rakaman yang didakwa milik Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz berhubung penerimaan sejumlah wang dari UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sebaliknya menyifatkan bekas naib presiden Pas itu sudah bankrap isu dengan membuat dakwaan seumpama itu.

Beliau turut mencabar Husam supaya menampilkan bukti kukuh termasuk masa, tempat dan sebagainya bagi menyokong dakwaannya itu.

Sambil menyindir Husam hanya orang bodoh yang mengakui dakwaan seumpama itu, Takiyuddin turut meminta husam mendedahkan kesemua rakaman tersebut.

"Kita rasa siasat tu biasa lah, tapi tidak memerlukan satu penyiasatan (sebab) sekali imbas orang (dah) tahu tulen atau tidak.

"Bagi saya orang yang bergantung seumpama ini orang dah bangkrap isu, sebab itu saya kata halangan pada Pas sekarang ini ialah fitnah," katanya ketika ditemui Astro AWANI, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika di minta mengulas mengenai dakwaan Husam berhubung audio rakaman yang diperolehinya.

Sebelum itu, Husam mengakui rakaman audio yang tular di media sosial mendakwa Nik Abduh menerima sejumlah wang dari UMNO itu, berasal dari beliau.

Husam pada masa sama mencabar Nik Abduh supaya menafikan suara dalam rakaman audio tersebut bukan dirinya.

BACA: Husam cabar Nik Abduh nafi suara dalam rakaman audio miliknya

Beliau juga bersedia disaman oleh Nik Abduh sekiranya dakwaanya salah.

Kandungan rakaman itu mengandungi suara seorang lelaki yang bercakap dengan nada suara yang tinggi mengakui menerima wang daripada UMNO yang dikaitkan dengan Nik Abduh.

Turut dipetik dalam rakaman itu ialah nama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya suara dalam rakaman itu adalah dirinya, malah menganggap ia sebagai karut dan fitnah ke atas dirinya serta Pas.