BENTONG: Kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan kebajikan dan keperluan masyarakat Orang Asli dengan sejumlah RM12.32 juta diperuntukkan pada tahun ini sahaja bagi meningkatkan taraf kehidupan komuniti itu dalam pelbagai aspek.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata dakwaan kononnya Orang Asli di negeri itu tidak dibantu hanya mainan politik pembangkang untuk mengelirukan komuniti berkenaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Okt ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu berkata kerajaan negeri bersetuju menyediakan 100 unit Rumah Rakyat Pahang secara percuma khusus kepada penduduk Orang Asli pada tahun ini dengan kos RM7.5 juta, selain peruntukan RM1.5 juta bagi membaik pulih rumah Orang Asli yang layak.

"Program PEDULI Orang Asli juga akan diperkenalkan melibatkan peruntukan RM200,000 bagi capai sasaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar Orang Asli yang dibantu menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Prihatin Pahang 2023 komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Bot di sini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata bagi membantu menguruskan hal ehwal pembangunan sosio-ekonomi masyarakat berkenaan, Pahang Orang Asli Corporation atau ORACO, yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri juga telah ditubuhkan.

"Kita faham masyarakat Orang Asli ini ada budaya dan adat resamnya tersendiri, jadi nak memudahkan semua, kita di Pahang ini banyak lantik pemimpin dalam kalangan Orang Asli sendiri," katanya yang menamakan Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang Johari Alwi sebagai contoh.

Menurutnya tidak mustahil pada masa akan datang pentadbiran kerajaan negeri mempunyai wakil daripada Orang Asli sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seterusnya diangkat sebagai Pengerusi Jawatankuasa memegang portfolio berkait komuniti tersebut.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan penyandangnya Datuk Seri Johari Harun terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari pengundian awal.

-- BERNAMA