Skip to main content

Politik

DAP akan kemuka pandangan perwakilan agar kerajaan dan parti lebih tegas ke Kabinet - Loke

LOKE KERUSI JELEBU
Loke berkata pandangan dikemukakan oleh perwakilan akan menjadi sebahagian daripada mandat kepimpinan parti dalam meneruskan peranan mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: DAP akan mengemukakan pandangan para perwakilan agar kerajaan dan parti mengambil pendirian lebih tegas melalui saluran Kabinet, susulan keputusan parti berkenaan untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan ketika perbahasan pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026, di sini, yang memberi peluang kepada perwakilan untuk menyuarakan pandangan kritikal secara terbuka terhadap parti dan kerajaan.  

“Terdapat beberapa pandangan kritikal yang kami terima dengan hati terbuka. Kebanyakan perwakilan memilih untuk kekal namun sudah tentu terdapat beberapa pandangan kritikal dikemukakan yang meminta kerajaan dan parti supaya lebih tegas serta lebih berpendirian.

“Sudah pasti kami akan menyampaikan segala hasrat dan maklum balas daripada akar umbi serta perwakilan kepada kerajaan melalui saluran Kabinet,” katanya pada sidang media selepas persidangan berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini hari ini.

Loke berkata pandangan dikemukakan oleh perwakilan akan menjadi sebahagian daripada mandat kepimpinan parti dalam meneruskan peranan mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan. 

Beliau berkata parti itu perlu menghormati keputusan majoriti, di samping mengambil kira pandangan minoriti, selain menegaskan tiada tindakan akan dikenakan terhadap perwakilan yang menentang keputusan DAP untuk kekal dalam kerajaan.

“Kita perlu menghormati proses demokrasi. Sebab itu saya mengemukakan usul tersebut dalam persidangan kebangsaan dan ia telah diputuskan melalui undian. Saya menghormati 12 peratus yang (perwakilan) mengundi menentangnya (untuk kekal). Itu adalah pandangan mereka (perwakilan),” katanya.

Usul untuk DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan 88 peratus daripada perwakilan yang mengundi, dengan 1,857 perwakilan menyokong untuk kekal manakala 242 memilih untuk keluar dan tujuh kertas undi rosak daripada keseluruhan 2,106 kertas undi yang dikeluarkan.

Sementara itu, pada sidang media sama, Loke berkata agenda yang dibincangkan pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 bukan agenda DAP semata-mata seperti didakwa musuh politik, sebaliknya merupakan agenda yang dipersetujui bersama-sama oleh kerajaan.

Beliau berkata terdapat beberapa reformasi yang telah dipersetujui bukan sahaja di peringkat gabungan parti Pakatan Harapan (PH), malah di peringkat Persekutuan, termasuk pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal serta usaha memerangi rasuah.

“Ini (persidangan) bukan agenda DAP. Musuh politik kata kita guna persidangan ini untuk menekan perdana menteri dengan agenda DAP tetapi agenda DAP ialah agenda yang dipersetujui bersama dalam PH dan Kerajaan Perpaduan. 

“… dan saya hendak tekankan, apa sahaja pembaharuan dan reformasi, ia bukan agenda DAP semata-mata. Ini adalah agenda bersama-sama yang telah pun dipersetujui melalui manifesto semasa pilihan raya yang lalu,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement