IPOH: DAP merupakan parti yang mempunyai semangat setia kawan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan bukannya komunis seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, parti yang sudah mencecah usia 56 tahun itu merupakan parti politik yang sah di negara ini dan ditubuhkan sejak 1966.

"Saya memberikan komitmen bahawa saya dan rakan-rakan saya daripada DAP, adalah parti politik yang setia kawan kepada Pakatan Harapan.

"Kita bukannya komunis. Orang yang cakap DAP komunis, dia pun pernah bekerjasama dengan komunis.

"Adakah dia sudah lupa? Dia pun pernah duduk bersama dengan (Lim) Guan Eng, (Lim) Kit Siang. Pernah tandatangan dokumen bersama dengan DAP.

"Mungkin dia dah lupa, jadi kita hendak ingatkan, DAP adalah parti politik yang sah di Malaysia. Kita kekal berprinsip, pendirian akan menyokong Pakatan Harapan, sokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Harapan 2022 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Anwar serta Timbalan-timbalan Pengerusi PH iaitu Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

BACA SEMUA MENGENAI PRU15 DI SINI

Dalam pada itu, Loke berkata, antara faktor mengapa DAP menyokong kepimpinan Anwar adalah disebabkan Presiden PKR itu konsisten dalam perjuangan selama lebih 20 tahun.

"Kita nak buat reformasi kepada negara, kekal konsisten. Bukan saja daripada slogan reformasi, kita nak reformasikan kerajaan dan sistem pentadbiran negara.

"Bagi DAP, satu lagi faktor penting ialah kerana Anwar konsisten perjuangkan politik pelbagai kaum di Malaysia. PH adalah gabungan politik yang memperjuang dan pertahan politik majmuk di negara ini.

"Kita kena terima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk.

"Kita terima bahawa kepimpinan kerajaan akan diterajui oleh kepimpinan Melayu. Tetapi semua kaum ada hak dan mesti diberi ruang untuk bersama-sama dalam kerajaan dan sistem pentadbiran negara.

"Ini yang diperjuangkan dalam Pakatan Harapan," katanya.