Dewan Rakyat menerima usul undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibawa pada Mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen ke-14 yang akan bersidang pada 18 Mei ini.

Dalam satu kenyataan, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul diterima di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Bagaimana pun satu lagi usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah Peraturan Mesyuarat 4 yang mahu Mohamad Ariff dikekalkan untuk ditolak.

"Setelah diteliti berdasarkan penjelasan yang dikemukakan, saya memutuskan bahawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 4 adalah ditolak kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

"Manakala usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak," katanya.

BACA: Shafie Apdal sahkan surat usul percaya ke atas Tun M

Dr Mahathir telah menghantar surat kepada Mohamad Arif pada 4 Mei mendakwa Muhyiddin tidak ada sokongan majoriti anggota parlimen.

Dalam kenyataan itu, Mohamad Ariff memaklumkan Dewan Rakyat telah menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Atas pertimbangan berdasarkan penjelasan yang telah dikemukakan, saya memutuskan agar usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) ini ditolak kerana usul dikemukakan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Beliau juga menolak sebahagian dari empat perkara yang dikemukakan dalam usul Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong.

Sebahagian lagi diterima kerana ia merupakan perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak.