IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dekat sini kecoh seketika apabila Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang membangkitkan soal sekuriti makanan di negeri ini, pada Selasa.

Ia berlaku ketika Ketua Pembangkang, Razman Zakaria meminta kerajaan negeri menyelesaikan masalah bekalan daging yang didakwa Kadar Sara Diri (SSR) bagi bahan mentah itu rendah walaupun Perak mempunyai padang ragut yang luas.

Razman (PN-Gunung Semanggol) juga meminta agar kerajaan negeri dapat memperkasakan lagi sektor sekuriti makanan termasuk menaik taraf sistem pengairan sawah padi terutama di Daerah Kerian.

“Saya minta agar kerajaan negeri dapat selesaikan hal pengairan (sumber air ke sawah padi) ini supaya kita dapat meningkatkan pengeluaran hasil padi.

“Selain itu saya juga minta untuk kerajaan negeri dapat meningkatkan bekalan daging. Agak malang kita ada padang ragut yang luas tetapi SSR untuk menampung bekalan rakyat hanya 13 peratus sahaja.

“Hulu Kinta (Muhamad Arafat Varisai Mahamad) kan, lembu banyak berkeliaran di Tanjung Rambutan tetapi hanya 13 peratus sahaja SSR. Sengaja saya nak usik beliau, kerana tidak bawa ayam hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kada pada sesi Perbahasan Belanjawan Perak 2023 di sini pada Selasa.

Muhamad Arafat kemudian bangun mencelah dengan meminta penjelasan agar Razman dapat memberitahu apakah usaha yang telah dilakukan beliau sewaktu menjawat jawatan Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Negeri sebelum ini.

Walaupun Razman telah memberi jawapan namun, Muhamad Arafat mendakwa jawapan yang diberikan tidak tepat dengan pertanyaanya selain mendakwa Razman telah gagal ketika menjadi Exco berkenaan.

“Apa kejayaan Gunung Semanggol sewaktu menjadi Exco (dalam soal sekuriti makanan)? Tak nampak apa benda pun. Gunung Semanggol telah gagal sebagai Exco dan sekarang mahu gesa kerajaan buat itu, buat ini pula.

“Orang sudah ‘jual’ jadi, kita belilah. Gunung Semanggol hendak sangat, jadi Hulu Kinta bangunlah,” katanya.

Mohd Akmal Kamaruddin (PN-Selama) pula bangun mencelah, menyokong Razman dengan mendakwa wakil rakyat kerajaan ketika ini lebih gemar menuding jari kepada pentadbiran lama berhubung apa sahaja isu dibangkitkan pihak pembangkang.

“Sampai bila nak tanya apa kejayaan kerajaan dahulu, setiap kali kita timbulkan isu, semua hendak salahkan kerajaan terdahulu. Setiap kali ditimbulkan isu, semua nak salahkan wakil rakyat kerajaan dahulu.

“Patut okaylah kita tidak bawa telur (masuk ke dewan),  dulu kamu bawa masuk daging ayam ke sini. Malulah dengan penjawat awam,” ujar Mohd Akmal.

Ketika ketegangan itu semakin hangat, Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kemudiannya meminta  semua ADUN agar memberi ruang kepada Razman untuk meneruskan sesi perbahasan sekaligus dapat menjawab semua soalan yang dilontarkan.

Pada Persidangan DUN Perak Disember tahun lalu, Muhamad Arafat mencuri perhatian semua pihak apabila membawa daging ayam segar ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak.

Ketika itu, Muhamad Arafat mendakwa bahan mentah itu telah dibeli di Gunung Semanggol sebagai ditujukan kepada Razman dengan mempersoalkan peranan Razman sebagai Exco bertanggungjawab dalam isu kenaikan harga ayam.