KOTA KINABALU: Pembangunan dan langkah mengenai isu masalah air dan masalah jalan raya di Sabah merupakan antara topik yang dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan, soalan daripada Datuk Amisah Yassin (Adun Dilantik) kepada Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya, membangkitkan bagaimana usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah air di Loji Rawatan Air Bambangan dan Loji Rawatan Air Kimolohing Ranau.

Situasi itu penting memandangkan rakyat di sekitar kawasan itu terkesan dengan ketiadaan bekalan air.

Selain itu, Rina Jainal (Harapan Rakyat - Kukusan) juga ingin tahu mengenai perkembangan baik pulih dan naik taraf jalan raya utama di sepanjang jajaran Kalabakan.

Turut ingin mengetahui tentang perancangan jangka panjang terhadap masalah tanah runtuh di tapak High Tension Tower SESB sepanjang kawasan Kampung Tombovo yang telah berlaku sejak beberapa tahun lalu ialah Datuk Awang Ahmad Sah (Warisan-Petagas).

Mohammad Mohamarin (Warisan-Banggi) juga ingin tahu tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kementerian bagi mengatasi masalah jalan raya, air dan elektrik di Pulau Banggi.

Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) ingin mengetahui masalah utama yang dihadapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sehingga orang awam secara umumnya menyedari bahawa kualiti penyelenggaraan jalan raya di Sabah terlalu teruk.

Persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Sabah berlangsung selama empat hari bermula hari ini.