Gabungan UMNO dan Pas tak akan dapat kuasai Malaysia - Mat Sabu

UMNO dan Pas memeterai piagam kerjasama, yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional, di Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan PH akan berusaha memastikan lebih banyak kerusi-kerusi Melayu dalam gabungan itu bagi memastikan kerajaan yang seimbang pada masa akan datang. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar | Astro Awani
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yakin kerjasama antara UMNO dan Pas tidak mampu untuk merampas pentadbiran dari Pakatan Harapan (PH).

Mohamad menjelaskan, pada peringkat awal ini gabungan dua parti terbesar orang Melayu itu mampu memberi kesan terhadap PH.

Namun dalam tempoh tiga tahun akan datang gabungan UMNO dan Pas akan semakin longgar dan PH akan terus menguasai pentadbiran negara.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, PH akan berusaha mewujudkan lebih banyak kerusi-kerusi Melayu dalam gabungan itu bagi memastikan kerajaan yang seimbang pada masa akan datang.

BACA: Kerjasama politik Pas-UMNO akan diperincikan - Ahmad Zahid

"Ertinya kalau mereka terus kuat mereka akan menang banyak kerusi Pakatan Harapan memerintah Malaysia tetapi kerusi-kerusi Melayunya akan kurang.

"Oleh itu kita akan merayu kepada masyarakat, kita mahu orang Melayu banyak dalam Pakatan Harapan dan kerusi-kerusi parlimen banyak dimenangi oleh orang Melayu untuk memberi kerajaan yang seimbang kepada masa akan datang," katanya kepada Astro AWANI dalam satu temubual khas baru-baru ini.

Pada Sabtu, UMNO dan Pas memeterai piagam kerjasama, yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional, di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Piagam tersebut ditandatangi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.