KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sudah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kini melibatkan empat parti.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keempat-empat parti berkenaan ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Sementara Barisan Nasional (BN) dan UMNO pula, kata Hajiji, merupakan rakan kongsi dalam gabungan tersebut.

"Kita berharap dengan gabungan ini, satu kestabilan politik di Sabah akan dapat kita capai untuk kepentingan perpaduan dan kerjasama di antara parti-parti di negeri ini.

"Sekarang ini dalam kerajaan, kita bersama-sama BN, tetapi UMNO dan BN akan bekerjasama dengan GRS dalam mentadbir negeri Sabah," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat AJK Penaja GRS, di Ibu Pejabat Bersatu Sabah di sini, pada Jumaat.

Hajiji yang juga Ketua Menteri menjelaskan, gabungan itu akan menggunakan lambang GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketika ditanya mengenai persiapan menjelang PRU, beliau berkata, perbincangan telah dibuat sebagai persediaan.

"Kita akan adakan persediaan-persediaan yang perlu kerana kita tahu pilihan raya akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa iaitu pada tahun ini atau awal tahun depan. Jadi GRS bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Pada mesyuarat itu, tiga Timbalan Pengerusi GRS turut dilantik iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili; Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee.

Sementara Datuk Seri Masidi Manjun dilantik sebagai Setiausaha Agung GRS dan Datuk Joniston Bangkuai selaku Ketua Penerangan GRS.

Ditanya mengenai perancangan kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak kerusi di Parlimen pula, Hajiji berkata, perkara itu akan terus diperjuangkan.

"Kita sokong untuk dapat lebih kerusi kerana apabila Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia bersama, inilah antara yang telah dipersetujui, iaitu wilayah Malaysia Timur mendapat kerusi Parlimen sekurang-kurangnya satu pertiga," katanya lagi.