KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada pihak tertentu cuba membawa agenda persendirian sehingga usaha kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) tergendala.

Abdul Hadi mengecam tindakan pihak berkenaan yang didakwanya cuba mahu mengubah agenda perpaduan umat sebelum perkara itu terdedah sehingga merosakkan dasar dan hala tuju sebenar.

Jelas beliau, usaha yang dilakukan pada mulanya untuk bersama-sama menyelamatkan semua dengan membentuk gagasan yang akhirnya dinamakan Perikatan Nasional (PN).

"UMNO bersama Barisan Nasional (BN) jatuh daripada kerajaan pusat. Sebahagian Ahli Parlimen mereka keluar parti. Malah, ada sebahagiannya sejak awal lagi menyelamatkan diri dengan menubuhkan Bersatu dan ada yang kemudiannya menyertai parti baharu tersebut.

"Usaha yang dilakukan pada mulanya untuk bersama-sama menyelamatkan semua dengan membentuk gagasan yang akhirnya dinamakan PN.

"Perkara tersebut adalah bertitik tolak daripada Kongres Maruah Melayu yang dirancang sejak awal, diikuti dengan menggabungkan masyarakat majmuk daripada pelbagai agama dan parti.

"Kemudian dibentuk gagasan MN yang menggabungkan parti-parti Melayu Islam terbesar yang terdiri daripada UMNO, Pas dan BERSATU kerana meraikan UMNO yang masih ada. Sehinggakan gabungan ini berjaya menukar kerajaan yang memerintah.

"Bagaimanapun, Pas tetap berpegang kepada apa yang tersurat dan telah ditandatangani. Perkara ini diulang beberapa kali dalam tulisan yang lalu, bahawa Pas telah mengambil pendekatan politik ta'awun yang diputuskan oleh al-Quran hasil Muzakarah Majlis Syura Ulama," katanya menerusi catatan Minda Presiden di Facebooknya.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, perkara tersebut adalah bertitik tolak daripada Kongres Maruah Melayu yang dirancang sejak awal, diikuti dengan menggabungkan masyarakat majmuk daripada pelbagai agama dan parti.

Pas, jelas Abdul Hadi tetap tegas tidak menjalin sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf serta taubat.

Tegas beliau, Pas juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahukan jawatan, salah laku dan tadbir urus.

Abdul Hadi menjelaskan, meraikan kemungkaran semata-mata kerana menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip adalah konsep ta'awun ataupun kerjasama yang salah serta berdosa.

"Pas tetap beristiqamah atas prinsip tersebut walaupun kehilangan kerusi. Bahkan pernah dikeluarkan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Perjalanannya masih jauh kerana wawasannya tidak tamat dalam kehidupan di dunia sahaja.

"Pas tidak hilang dengan matinya pemimpin dan ahlinya tidak lemah dengan sebab terdapat kalangan yang menyeleweng atau berhenti di tengah perjalanan kerana niat yang salah masuk Pas sekadar menumpang, bukan berjuang.

"Pas tidak rebah dengan sebab kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menjelaskan Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan terpesong daripada konsep ta'awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran, sekalipun terdapat perbezaan dan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri, namun beliau percaya ada penyelesaiannya.