Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin membidas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berasas yang mendakwa wujudnya campur tangan pihak tertentu berhubung pengguguran kes beberapa pemimpin dalam kerajaan.

Hanipa ketika dihubungi Astro AWANI hari ini mahu Presiden pembangkang itu memberikan bukti terhadap dakwaanya itu.

"Beliau kena buktikanlah. Bagi kami andainya di zaman Barisan Nasional dahulu mungkin fenomena yang dia sebut itu pernah berlaku jangan ingat Kerajaan Pakatan Harapan sama seperti Kerajaan Barisan Nasional.

"Bagi saya, tuduhan beliau tu tiada asas dan bersifat nakal," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai dakwaan Zahid itu seperti dilaporkan portal berita Sinar Harian hari ini.

Dalam wawancara khas itu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak menuduh wujudnya campur tangan berkenaan, namun itulah perkara sebenarnya yang berlaku.

Julai lalu, Pejabat Peguam Negara telah menarik balik pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dibuat oleh Pejabat Peguam Negara berhubung skandal rasuah pemilikan banglo dimana ia mengejutkan semua pihak.

Dalam wawancara itu Ahmad Zahid turut tidak menolak kemungkinan siasatan terhadap pemimpin Umno seperti bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azeez Rahim kerana prinsip undang-undang telah disalah gunakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Md Akin kepada Ahmad Zahid mempersoalkan motif Ahmad Zahid yang membangkitkan isu tersebut.

Beliau mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid membawa isu itu untuk mengalih perhatian rakyat kerana bimbang beliau turut akan dikenakan pendakwaan atau mahu menjadikan ia sebagai modal dalam Perhimpunan Agung UMNO.

“Yang lebih penting untuk ditanya ialah kenapa Zahid bangkitkan perkara ini walhal beliau sendiri tahu jawapannya.

“Apakah kerana Ahmad Zahid perlukan suatu isu untuk dijadikan modal dalam perhimpunan agung parti pembangkang UMNO tidak lama lagi... atau Ahmad Zahid sendiri bakal berdepan dengan pertuduhan rasuah,"

Tambahnya, dakwaan Ahmad Zahid langsung tidak berasas kerana jelas kuasa pendakwaraya itu termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sedari awal pertuduhan terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng bermotifkan politik. Ahmad Zahid tentunya lebih maklum mengenai perkara ini.

"Justeru, kalau pertuduhan terhadap Menteri Kewangan bermotifkan politik, tidak perlu bazirkan wang negara untuk teruskan dengan pendakwaan," kata Hanipa.