KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan secara terhormat selepas hilang keabsahan susulan tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau.

Tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan pada Khamis, ini kerana pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokongnya.

"Kami mengingatkan Peguam Negara bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sendiri telah dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokong beliau, termasuk Presiden UMNO, yang telah dipersembah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020.

"Maka apabila ketua parti terbesar itu mengumum menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka Perdana Menteri telah hilang sokongan asas parti tersebut dan seterusnya hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen," jelas kenyataan itu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG]: Politik Malaysia pasca Mesyuarat MKT UMNO

BACA: PM, jemaah menteri kekal berfungsi seperti biasa - Peguam Negara

Malah Majlis Presiden PH turut menemplak kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet masih kekal menjalankan kuasa eksekutif persekutuan.

"Jelas sekali Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik PN daripada mempertahankan keluhuran undang-undang.

"Oleh itu, YAB Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan (legitimacy) sebagai Perdana Menteri," jelas kenyataan itu lagi.

[TERKINI] Sidang media Presiden UMNO


Dalam kenyataan yang sama, Majlis Presiden PH turut berpendirian bahawa ketika ini bukan waktu yang sesuai mengadakan pilihan raya.

"Kita perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat ekoran krisis COVID-19 yang kian meruncing, berbanding terus berpolitik demi jawatan dan habuan.

"Majlis Presiden turut berpendirian bahawa waktu ini bukanlah masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil memandangkan jumlah kes COVID-19 yang masih tinggi dan prasarana kesihatan awam yang semakin tertekan," kata kenyataan itu.

Justeru PH akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, pengurusan krisis COVID-19 dan program vaksinasi yang lebih pantas.

Dari sudut ekonomi pula, PH akan melaksanakan langkah-langkah menghidupkan semula ekonomi negara yang lebih baik melalui dasar yang diteliti dan diumum jawatankuasa-jawatankuasa PH.