"Selewat-lewatnya Isnin depan."

Itu penjelasan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang dipetik Bernama mengenai pengumuman Menteri Besar baharu Selangor.

Jelasnya, Istana Selangor akan mengumumkan nama Menteri Besar Selangor yang baharu selewat-lewatnya Isnin, 22 September.

"Istana (Selangor) akan umumkan siapa MB (Menteri Besar) baharu selewat-lewatnya Isnin ini. Bagaimanapun, ia (pengumuman itu) terpulang kepada perkenan Sultan Selangor," katanya ketika dipetik Bernama hari ini.

Mohamad Munir berkata, pengumuman itu akan dibuat sama ada menerusi kenyataan akhbar atau sidang media.

Jelasnya, setakat ini, pihak Istana tidak mengutus sebarang surat kepada bakal Menteri Besar Selangor berhubung perkara itu.

Pada Khamis, Istana Selangor mengesahkan Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang, dekat sini.

Sebelum ini, beliau menyatakan nama Menteri Besar yang baharu akan hanya diketahui pada hari majlis angkat sumpah itu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tetap dengan keputusan menolak jawatan Menteri Besar Selangor dengan alasan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat akan tetap dipertahankan.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis turut memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataannya mengenai amalan pelantikan jawatan Menteri Besar Selangor yang beliau dibuat berdasarkan pengalamannya ketika bersama Barisan Nasional.