KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing, sedia melepaskan kerusi DUN Baleh sekiranya diminta berbuat demikian.

Namun jika diminta mempertahankan kerusi tersebut, beliau akan mempertahankannya.

Bagaimanapun jelasnya, semua itu bergantung kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Jika Ketua Menteri minta saya pertahankan, saya akan pertahankan DUN Baleh. Jika dia kata cukup 30 tahun, saya akan terima dan melepaskan kerusi DUN itu. Itu sudah pasti.

“Saya menurut perintah Ketua Menteri ke mana saya pergi (bertanding). Kalau beliau kata cukup (tidak bertanding) maka, cukuplah. Jangan lawan bos (ketua),” kata Masing.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata demikian dalam sesi wawancara khas bersama AWANI Borneo di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di Kuching pada Selasa.

Ditanya mengenai peratusan calon muka baharu daripada PRS yang akan dipertaruhkan pada PRN kali ini, katanya perkara itu masih lagi rahsia.

“Sudah ada, tetapi saya tidak boleh beritahu kerana Ketua Menteri yang akan bersetuju dan sokong bukan saya.

“Saya hanya mencadangkan nama, kalau Ketua Menteri tidak menyokong susah juga. Saya yakin calon-calon ini bersedia, apabila mendapat sokongan Ketua Menteri saya akan beritahu mereka,” tambahnya.