MUAR: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan semua pihak untuk menjaga adab dan berkempen secara tertib dalam tempoh dua minggu Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang bermula hari ini.

Beliau turut menegaskan supaya mereka yang terlibat dengan proses pilihan raya ini untuk tidak terikut-ikut dengan ‘budaya’ berkempen di negeri lain.

“Sebagai Menteri Besar, saya juga ingin meminta tolong semua pihak daripada sebelah sana (pembangkang) dan juga sebelah sini (Kerajaan Perpaduan) untuk sama-sama kita berkempen secara berhemah, baik dan tertib supaya keharmonian bangsa Johor ini tetap kita kekalkan.

“Jangan disebabkan keghairahan hendak berkempen dua minggu ini kita terpengaruh dengan cara kawan-kawan daripada negeri lain, kerana Johor insya-Allah ada cara Johor dan bangsa Johor sangat tahu apa yang saya maksudkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, pada Sabtu.

Nazri yang juga seorang jurutera bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S. Jeganathan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata untuk tidak merasa selesa terlalu awal dan berusaha dengan gigih dalam mendapatkan sokongan rakyat di kawasan itu.

“Saya juga telah mengingatkan jentera di peringkat Kerajaan Perpaduan bahawa kita dalam PRK di kawasan Simpang Jeram ini saya anggap kita sebagai 'underdog'.

“Sebagai 'underdog' kita perlu bekerja keras dan berusaha dengan gigih untuk memastikan ahli-ahli kita penyokong-penyokong kita dan rakyat secara keseluruhan dapat melihat ketokohan saudara Nazri ini yang insya-Allah akan terus membela dan berjasa kepada rakyat di kawasan Simpang Jeram,” tambahnya.

Selain itu, katanya, ketokohan dan pengalaman Nazri juga dilihat mampu menjadi faktor penyumbang pengundi kepada calon Kerajaan Perpaduan itu.

“Selama 30 tahun bekerja di Majlis Perbandaran Muar, beliau telah banyak berjasa dengan orang di sini.

"Jadi saya yakin bahawa ramai warga rakyat di kawasan Simpang Jeram mengenali beliau dan insya-Allah menjadi lebih mudah untuk beliau mendekati pengundi-pengundi di kawasan ini,” katanya.

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 orang pemilih dengan 40,373 daripadanya adalah pengundi biasa manakala enam lagi pengundi tidak hadir luar negara.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak.

Allahyarham memenangi kerusi DUN Simpang Jeram sejak 2018 sebelum berjaya mempertahankannya sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac tahun lalu.