Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hari ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa lukisan karikatur dimuat naik di akaun Facebook yang menghina Aidilfitri adalah miliknya, sebaliknya mengatakan ia adalah permainan politik untuk menjatuhkannya.

Ahli Parlimen Taiping itu berkata, beliau amat kesal dengan tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang seolah-oleh menyokong politik kotor hanya untuk mencemar nama baik parti DAP.

Beliau juga menempelak tindakan sesetengah pemimpin Barisan Nasional (BN) yang bukan ingin membetulkan keadaan sebaliknya cuba menambah kekeruhan dengan mengadakan demonstrasi semata-mata untuk mencari publisiti murahan.

Semalam, Nga mengeluarkan kenyataan media menjelaskan beliau tidak pernah memiliki atau memuat naik lukisan kartun tersebut di laman Facebook miliknya.

"Namun, hingga hari ini masih ada pihak sengaja melontar tohmahan tanpa asas, dan saya amat kesal dengan budaya fitnah yang cuba diuar-uarkan oleh musuh politik parti kami walaupun fitnah adalah dosa besar di sisi Islam.

"Saya amat menghormati agama Islam, malah sentiasa memberi sumbangan kepada keluarga Islam yang memerlukan bantuan khususnya dalam kawasan Parlimen saya di Taiping," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Isnin.

Nga menegaskan, ini bukan kali pertama beliau diperlakukan seperti mangsa fitnah kotor dan musuh politik, malah beliau pernah mengemukakan laporan mengenainya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Tindakan pernah diambil oleh mahkamah tetapi keadaan tersebut masih lagi berulang. Jelas peristiwa ini adalah helah kotor yang menjatuhkan kami di DAP.

"Saya berharap rakyat dapat menolak budaya ini supaya dapat menegakkan keadilan untuk kami sebagai mangsa fitnah ini,"ujarnya.

8 Julai lalu, dua wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kepala Batas meminta polis menyiasat Nga yang didakwa memuat naik status dalam akaun Facebook miliknya yang dikatakan menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Setiausaha Agung Kelab Warisan Malaysia (Keris) Azman Hassan berkata, status Facebook milik Nga telah memuatkan satu gambar karikatur mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu ketika Hari Raya sebagai rasuah.

Pada masa sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengecam tindakan Nga yang dikatakan memuat naik pada 5 Julai, gambar ucapan Aidilfitri di akaun Facebook miliknya dengan berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat Selasa.

Noh berkata tindakan biadap itu bukan sahaja tidak menghormati kesucian agama Islam malah menunjukkan pemimpin DAP itu tidak mempunyai semangat patriotik.

Susulan beberapa laporan diterima, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan ke atas Nga kerana menghina sambutan Aidilfitri dalam akaun Facebook miliknya.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari juga pada Ahad menuntut Nga memohon maaf terhadap umat Islam berhubung entri menghina di laman sosial Facebooknya, mengatakan Nga sepatutnya tidak cuba 'bergurau' dalam isu sensitif terutama yang membabitkan agama.