PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bergerak di luar kerajaan negeri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Presidennya Priscella Peter berkata keputusan itu dibuat sebulat suara bersama Majlis Tertinggi parti dengan mengambil kira kepentingan KDM serta usaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.
“Sebagai persiapan menghadapi PRN dan PRU, parti KDM bersama-sama dengan Majlis Tertinggi parti telah memutuskan untuk bergerak tanpa berada dalam Kerajaan GRS.
“Keputusan ini sungguh berat, tetapi apa yang penting kami mahu tunjukkan kepada rakyat dan ahli di akar umbi bahawa kita mempunyai hala tuju jelas untuk mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata perkembangan selepas pilihan raya lalu turut memberi kesan kepada KDM dan menjadi antara pertimbangan parti untuk bergerak di luar kerajaan GRS.
Beliau berkata KDM perlu mula membina semula keyakinan rakyat sebelum pilihan raya akan datang dan tidak hanya mengambil tindakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Dalam pada itu, Priscella berkata KDM tidak akan bertanding secara solo pada PRU akan datang, sebaliknya terbuka untuk bekerjasama dengan parti tempatan bagi membentuk blok politik yang berteraskan kepentingan Sabah.
Beliau berkata perbincangan tidak rasmi dengan beberapa parti tempatan termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah berlangsung, namun belum ada keputusan muktamad mengenai kerjasama berkenaan.
-- BERNAMA