POLITIK
Ke mana arah tuju PBB dan BN Sarawak pasca Tok Nan?

Selagi mana pemimpin PBB berpegang kepada prinsip muhibbah, kepercayaan rakyat terhadap tunjang politik Sarawak itu tidak akan terlerai. - Gambar fail Bernama
Bersembang bagai dianjung rumah panjang, bersenda bagai saudara berpisah tiada.
Inilah kelebihan pemasaran politik yang diperkenalkan Ketua Menteri Sarawak kelima, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Persoalannya kini, ke mana arah tuju Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pasca kepimpinan Tok Nan?
Naib Yang Di Pertua PBB, Datuk Talib Zulpilip mengakui, Tok Nan tiada galang ganti.
Tegasnya, walaupun hanya mengemudi bahtera politik Sarawak dalam tempoh singkat, Tok Nan telah meletakkan penanda aras yang tinggi.
Cukup diingati dengan sikap ramah berterus terang, batu asas yang ditinggalkan Tok Nan jadi panduan barisan pengganti.
"Seperti kita bina rumah, struktur asas sama, namun hiasannya mungkin tidak sama, pelan sama pelaksanaan sama, pengakhirannya sama. Yang kita perlu struktur asas yang kukuh," kataya ketika ditemubual Astro AWANI tempoh hari.
Ujar ADUN Jepak itu, medan ujian pertama PBB pasca kepimpinan Tok Nan adalah Pilihan Raya Umum (PRU) 14.
"Perasaan muhibbah masih wujud, belum luntur lagi. Siapa sahaja yang mengambil alih boleh menggunakan perasaan muhibah itu.
"Ia masih belum luntur dan InsyaAllah boleh digunakan sebab ia masih relevan dan masih menguntungkan keputusan pilihan raya asalkan jangan berdalih," ujarnya.
Beliau yang juga menteri muda Sarawak yakin semangat setia dan jiwa besar pemimpin PBB bakal meneruskan kelangsungan kekuatan parti.
Malah, legasi dan aspirasi Tok Nan akan diteruskan sahabat karibnya yang juga orang kuat 'Team Adenan', Datuk Abang johari Tun Abang Openg.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami