POLITICS
Kecewa selepas berjuang itu lumrah, tenang dan bangkit semula - Rais Hussin ‘pujuk’ Rafizi

Nasihat Rais kepada Menteri Ekonomi itu adalah untuk mengingati misi yang digalas ini adalah lebih besar daripada perjuangan peribadi.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli perlu cekal dalam perjuangan membela rakyat dan negara, meskipun berdepan rasa kecewa dalam arena politik.
Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff menasihatkan bekas Timbalan Presiden PKR itu agar berehat seketika dan bangkit semula dengan iltizam yang lebih kuat.
“Saya faham perasaan dan kekecewaan yang anda alami, namun itu adalah sesuatu yang lumrah bagi setiap insan. Saya sendiri (memahaminya) jika sudah menghabiskan 27 tahun usia dewasa saya untuk parti dengan mengorbankan hampir segalanya,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Nasihat Rais kepada Menteri Ekonomi itu adalah untuk mengingati bahawa misi yang digalas adalah lebih besar daripada perjuangan peribadi.Harapan Rais adalah agar Rafizi sedar bahawa beliau mempunyai nilai ketokohan yang tidak boleh dipersiakan, maka kekecewaan itu jangan dipendam terlalu lama.
“Ambillah masa untuk bertenang, tetapi kembalilah dengan lebih kuat, lebih tajam dan lebih baik untuk meneruskan perjuangan suci ini demi Malaysia yang lebih baik untuk semua. Itulah hakikat sebenar DNA anda,” katanya lagi.
Pengasas EMIR Research itu turut menyatakan keyakinan terhadap Rafizi untuk melakukan perkara yang tepat demi kepentingan parti, negara dan rakyat.
Pada 7 Oktober 2022, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang juga pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengumumkan keluar dari parti berkenaan dan secara rasmi menyertai PKR, enam hari kemudian.
Terdahulu, Rafizi tewas dalam pemilihan parti kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Keputusan itu diumumkan pada Jumaat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, selepas Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2025.
Nurul Izzah yang merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi menewaskan Rafizi yang meraih 3,866 undi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami