KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan atau memilih untuk keluar bakal ditentukan oleh perwakilan parti itu pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026, Ahad ini.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan mengemukakan satu usul yang secara khusus menyerahkan keputusan berhubung kedudukan parti dalam Kerajaan Persekutuan kepada perwakilan.
“Usul tersebut berbunyi, persidangan ini akan memutuskan sama ada DAP akan kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat tempoh," katanya semasa sidang media yang disiarkan di Facebook rasmi DAP hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, keputusan itu akan dibuat menerusi undi sulit dan bukannya melalui undian suara atau mengangkat tangan.
Setiap perwakilan yang hadir akan diberikan kertas undi untuk memilih sama ada ingin DAP kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan.
“Mereka diberi ruang sepenuhnya untuk membuat keputusan tanpa apa-apa kerisauan. Mereka bebas untuk membuat keputusan,” katanya.
Usul berkenaan akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum persidangan membuka ruang kepada perwakilan untuk berbahas.
Selepas sesi perbahasan selesai, proses pengundian akan dimulakan dan dijangka mengambil masa kira-kira dua jam bagi memastikan semua perwakilan yang hadir berpeluang membuang undi.
Poay Tiong berkata, proses itu akan turut melibatkan ejen pengiraan undi dan pemerhati bagi memastikan pengundian dilaksanakan secara telus.
“Proses pengundian dilakukan seperti pilihan raya, di mana ada ejen kira undi, pemerhati. Ia satu proses yang telus,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru semua perwakilan supaya hadir memandangkan keputusan yang bakal dibuat mempunyai kepentingan besar terhadap hala tuju DAP.
Seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan layak menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.
Persidangan kali ini turut mempunyai signifikan tersendiri kerana berlangsung bersempena ulang tahun ke-60 penubuhan DAP.
Poay Tiong pada masa sama menegaskan persidangan berkenaan merupakan persidangan tahunan parti yang diadakan mengikut perlembagaan DAP dan bukannya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) atau persidangan khas.