KUCHING: Kemelut dalaman Parti Bangsa Malaysia (PBM) dilihat semakin meruncing dengan tindakan terbaru Presidennya Datuk Larry Sng Wei Shien menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi berkuat kuasa serta-merta termasuk Datuk Zuraida Kamaruddin.

Dalam hantaran terbaru di Facebook lewat malam tadi, Sng berkata keputusan itu dibuat selaras dengan perlembagaan parti Fasal 60 (iii).

Antara yang digantung termasuk Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir.

Selain itu, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Dato Chua Lian Chye, Dato Roger Tan Seng Huat, Albakri Salim.

“Ini termasuk juga penggantungan Zuraida sebagai ahli biasa PBM. Ia berhubung penglibatan berterusan mereka dalam menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya.

“Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum,” katanya.

Oleh itu, tambah Sng, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

BACA: Larry dakwa masih Presiden PBM, gantung tugas dua Ahli Majlis Tertinggi


Susulan itu, menurutnya satu Mesyuarat Majlis Tertinggi akan diadakan Ahad ini di Sarikei pada jam 4 petang memandangkan perkara ini amat mendesak untuk membincangkan dan menyelesaikan isu itu dengan segera.

“Saya akan melaksanakan peruntukan Fasal 21 (ii) perlembagaan parti untuk membenarkan mesyuarat diadakan kurang daripada notis tujuh hari yang diperlukan.

“Mereka yang telah digantung kerja tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut dan surat penggantungan mereka telah dihantar kepada mereka secara individu,” katanya.