POLITICS
Keputusan pemilihan cabang PKR 2025 disahkan, dimuktamadkan MPP - Fuziah

Fuziah berkata keputusan muktamad untuk Pemilihan 2025 bagi peringkat cabang akan dipamerkan bermula pada 5 Mei 2025. - Foto Facebook/Parti Keadilan Rakyat
KUALA LUMPUR: Keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi semua 220 Cabang di seluruh negara yang selesai baru-baru ini telah disahkan dan dimuktamadkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), menurut Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata MPP yang bermesyuarat semalam berpuas hati dengan pembentangan Jawatankuasa Pemilihan Parti dan juruaudit digital antarabangsa mengenai keputusan peringkat Ahli Jawatankuasa, Wanita, dan Angkatan Muda Keadilan di kesemua Cabang.
"Keputusan muktamad untuk Pemilihan 2025 bagi peringkat cabang akan dipamerkan bermula pada 5 Mei 2025 menerusi https://keputusan.keadilanrakyat.org/," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mesyuarat semalam turut mengesahkan tarikh penting dalam garis masa persiapan menghadapi Kongres Tahunan PKR 2024 dan 2025 yang akan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bharu."Kongres Tahunan kali ini akan menerima kehadiran lebih kurang 10,000 perwakilan yang akan mengundi secara fizikal untuk memilih MPP manakala lebih 20,000 perwakilan pula akan mengundi secara dalam talian," katanya.
Fuziah berkata sistem perwakilan berpaksikan konsep representasi berkadar mengikut sokongan dijangka menarik perhatian kerana calon Ketua Cabang yang kalah turut akan layak menghantar perwakilan ke kongres mengikut kadar peratusan undi diterima pada pemilihan sebelum ini.
"Prinsip yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua, akan menyemarakkan lagi proses demokrasi pada Pemilihan 2025 sewaktu Kongres kali ini," katanya.
Beliau berkata mesyuarat turut dimaklumkan bahawa satu Jelajah Pra Kongres ke seluruh negara akan digerakkan untuk memastikan para perwakilan menerima maklumat tepat dan komprehensif dalam membuat persiapan rapi untuk ke kongres.
"Ibu Pejabat juga akan menyediakan platform khas sewaktu Jelajah Pra Kongres itu untuk semua calon MPP bertemu para perwakilan dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami