KUALA LUMPUR:Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PRK Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menasihatkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar bermuhasabah diri selepas gagal memperoleh sokongan majoriti daripada wakil rakyat negeri itu.

"Saya ingin nasihatkan Ahmad Faizal untuk bermuhasabah diri setelah ditolak oleh parti komponen sendiri walaupun hanya sembilan bulan bersama," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Jumaat.

Farhash Wafa Salvador berkata PKR menerima keputusan itu dan akan menyatakan kerjasama dengan kerajaan negeri agar fokus kepda kebajikan rakyat tidak terabai.

"Ketika ini kita dilanda wabak COVID-19 maka jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, ia hanya akan memudaratkan rakyat.

"Namun apa yang jelas ialah Ahmad Faizal telah ditolak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

"Ini sekali gus, usul dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim yang telah disegerakan membuktikan bahawa kerajaan Ahmad Faizal tidak ada keabsahan," katanya.

Ahmad Faizal yang dipilih menjawat Menteri Besar Perak sebelum ini gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya yang berlangsung pada Jumaat.

Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.