KUALA LUMPUR : Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin hilang kepercayaan berikutan kemarahan rakyat akibat usaha-usaha yang dilakukan tidak mempamerkan sebarang hasil, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau turut menyifatkan kerajaan ketika ini ibarat ‘itik tempang’ apabila isu pandemik COVID-19 gagal diatasi sebaik mungkin.

“Pada pandangan saya kerajaan sekarang ibarat ‘itik tempang’ kerana mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan kepercayaan rakyat semakin terus menurun.

“Saya percaya kalau pergi mengundi mereka (kerajaan) akan kalah bukan kerana orang tidak suka tetapi tiada sebarang hasil yang mendatangkan kebaikan pada negara dan masyarakat,” katanya ketika bercakap di Forum Selamatkan Malaysia pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO berkata, kewangan negara telah banyak dibelanjakan untuk memerangi wabak COVID-19 namun sehingga kini tiada sebarang perubahan drastik dilihat malah kehidupan rakyat semakin terdesak.

Selain itu, Rafidah turut menzahirkan kekecewaan melihat kepada sikap kerajaan yang tidak mengambil kira pandangan pakar.

“Kerajaan sekarang ini agak degil, tutup mata, tutup telinga… segala cadangan baik yang dikemukakan pakar tidak diambil kira pihak kerajaan.

“Kerajaan lebih memilih untuk laksana dengan cara mereka tersendiri,” ujar beliau lagi.

Dalam masa sama, Rafidah juga menyuarakan kebimbangannya dengan kedudukan kewangan negara yang telah banyak dibelanjakan bagi memerangi COVID-19 dan dikhuatiri ia mampu menjejaskan pentadbiran negara pada masa akan datang.

Bahkan, tegas beliau, kedudukan ekonomi negara juga semakin meruncing apabila kebanyakan sektor perniagaan merosot.