GEORGE TOWN: Pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara atau 'caretaker government' sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, ia adalah selaras dengan perkara 7(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang selepas Dewan Undangan Negeri (DUN)  dibubarkan secara rasmi  bermula esok.

Kon Yeow berkata, Speaker Dewan Negeri Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang telah menerima proklamasi Perisytiharan Pembubaran DUN yang ke 14 selaras dengan Fasal 2 Perkara 19 Perlembagaan negeri .

Bagaimanapun beliau berkata, Ketua Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masih boleh meneruskan kerja-kerja pentadbiran sehingga kerajaan baharu terbentuk.

Sehingga itu, semua Exco masih boleh menggunakan kereta rasmi kerajaan dan akan menyerahkan semula sebelum hari penamaan calon PRN Pulau Pinang.

"Maka esok kita mulakan satu tanggungjawab yang baru, caretaker government, antaranya melibatkan penggunaan kereta dan lain-lain.

"Kita putuskan kita masih menjalankan tugas sebagai caretaker government ini merujuk kepada ahli Exco sahaja, akan terus menjadi caretaker Exco boleh hadir kerja pentadbiran sehingga kerajaan baru ditubuhkan termasuk penggunaan kereta rasmi," katanya.
 
Dalam pada itu, ditanya tempoh masa PRN wajar diadakan, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata minggu pertama dan kedua Ogos adalah tempoh paling sesuai diadakan PRN.
 
"Kita tahu ia tidak boleh melebihi 60 hari, ada negeri sudah dibubarkan sejak 22 jun, maka kalau nak diselaraskan ia tidak boleh lebih dari 21 Ogos, walaupun lain-lain negeri boleh tambah, tetapi untuk selaraskan ia perlu berlaku. Kita jangka mungkin dalam minggu pertama atau kedua Ogos," katanya lagi.

Sementara itu, Kon Yeow turut menjelaskan sepanjang tempoh itu ahli Exco tidak akan membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.
 
"Sebenarnya ini dibincangkan termasuk boleh melaksanakan kerja tanpa buat keputusan termasuk projek sebab kita tidak ada lagi mesyuarat setelah pembubaran selepas esok , kita tak jadualkan tetapi apa yang sudah diputuskan, apa keputusan diluluskan kertas Exco masih boleh digunakan dalam pentadbiran caretaker, bukan keputusan baharu," tambahnya.

 Kon Yeow berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan perutusan khas Ketua Menteri Pulau Pinang sempena Pembubaran DUN Pulau Pinang pada Selasa.
 
Terdahulu, Kon Yeow mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi mendapatkan proklamasi pembubaran DUN Pulau Pinang pada 28 Jun bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang diadakan dalam masa terdekat.
 
Enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN dalam tempoh terdekat.
 
Selangor dan Kelantan sudah membubarkan DUN manakala DUN Pulau Pinang, Kedah  dan Terengganu masing-masing akan dibubarkan pada 28 Jun ini.
 
Sementara itu, DUN Negeri Sembilan pula akan dibubarkan pada 30 Jun.