KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus  komited membangunkan ekonomi Sabah dalam usaha membantu golongan terkesan akibat COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hubungan baik antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang terjalin membolehkan Sabah diberikan keutamaan dan perhatian.

"Esok saya akan mendengar taklimat mengenai perancangan yang akan dilaksanakan oleh kepimpinan kerajaan negeri yang didukung parti-parti dalam GRS.

"Selepas itu, saya akan memberikan pandangan-pandangan tertentu agar ia dapat terus memacu ekonomi negeri yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Walaupun Ketua Menteri tidak memohon wang tetapi Kerajaan Persekutuan tetap beri bantuan kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam GRS di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, malam ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Kerajaan Pusat menyatakan sokongan '110 peratus' kepada kerajaan GRS.

"Saya sentiasa berkomunikasi dengan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor walaupun ketika berhadapan dengan masalah rentas negeri dan terpaksa menguruskan hal negara.

"Bagaimanapun, hubungan secara peribadi saya jalinkan untuk membolehkan apa yang dikehendaki di Sabah diberikan keutamaan.

"Oleh itu, saya ingin menyatakan rasa bangga tentang kewujudan semangat kerjasama, perpaduan yang kukuh dalam kalangan pimpinan GRS dan berharap dengan adanya kerjasama ini segala usaha kita rancang memberikan faedah yang sebaiknya kepada seluruh rakyat yang ada di Sabah," katanya lagi.