KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dilihat lebih banyak memberi risiko serta cabaran besar kepada UMNO berbanding rakan kongsinya.
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Mohamad Hisommudin Bakar berkata, implikasi paling nyata daripada kerjasama sedemikian adalah potensi terhakisnya dominasi kerusi tegar UMNO di kawasan majoriti Melayu kepada Pas dan mungkin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hisommudin menjelaskan bahawa asas pembahagian kerusi dalam mana-mana gabungan politik lazimnya bermula dengan mempertahankan kerusi status quo yang dimenangi pada pilihan raya terdahulu.
"Jika rumus status quo digunapakai sebagai asas perbincangan, BN hanya bermula dengan 23 kerusi untuk dipertahankan.
“Ini bermakna sebahagian besar kerusi di segmen Melayu akan ditandingi oleh Perikatan Nasional," kata Hisommudin ketika tampil sebagai panelis dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) terbitan ILHAM Centre.
Beliau menambah, situasi itu bakal memaksa BN bertanding di kawasan-kawasan bercampur atau kerusi tidak popular yang mempunyai risiko kekalahan jauh lebih tinggi.
Untuk rekod, daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, BN kini hanya menyandang 23 kerusi.
Selain isu pembahagian kerusi Parlimen, Hisommudin melihat kerjasama itu membuka ruang strategik yang luas kepada Pas untuk meluaskan pengaruh mereka ke negeri-negeri yang secara tradisinya merupakan cengkaman kuat UMNO, seperti Pahang, Perak, dan Selangor.
Berbeza dengan struktur mesin parti lain, beiau berkata, keupayaan jentera Pas yang bergerak secara berdikari di peringkat akar umbi menjadikan mereka rakan kerjasama yang sukar ditandingi dari segi ketahanan lapangan.
Selain itu Hisomuddin turut membangkitkan satu lagi cabaran utama, iaitu penentuan calon Perdana Menteri sekiranya gabungan BN-PN berjaya membentuk kerajaan.
Berdasarkan konvensyen politik, beliau berpandangan, parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam gabungan berhak mengemukakan calon ke jawatan nombor satu negara tersebut.
Dengan unjuran sokongan semasa, PN terutamanya Pas berpotensi meraih jumlah kerusi yang lebih dominan berbanding UMNO, sekali gus meletakkan UMNO dalam posisi sukar untuk menuntut semula kepimpinan utama negara.
"Persoalannya, sanggupkah UMNO dan BN melepaskan penguasaan tradisional ini demi sebuah kerjasama pragmatik?" katanya lagi.
Dalam pada itu, Hisommudin turut menyentuh cabaran BN untuk meyakinkan segmen pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina.
Beliau berkata, trend dalam beberapa siri pilihan raya menunjukkan wujudnya penolakan mendalam atau ketiadaan kepastian daripada kelompok pengundi ini terhadap kerjasama yang melibatkan Pas.
Bagi BN, jelas Hisomuddin lagi, melangkah ke PRU16 menerusi gabungan bersama PN mungkin menawarkan kelebihan dari segi penyatuan undi Melayu-Islam, namun harganya mungkin dibayar dengan kehilangan identiti dan penguasaan politik UMNO dalam jangka panjang.