PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan perbincangan kerjasama politik baharu turut membabitkan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas mengenai kiasan wujudnya 'lambaian' dan pihak yang mula 'melamar' Bersatu, bekas Perdana Menteri itu menegaskan partinya mengambil sikap terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak demi kelangsungan parti.
Disoal pemberita sama ada pihak yang mula mendekati Bersatu itu termasuk PH, Ahli Parlimen Pagoh itu enggan memperincikan nama gabungan secara khusus, sebaliknya mengulangi bahawa ia melibatkan semua pihak.
"Saya menyatakan secara umum memang ada lambaian untuk berjumpa dan berbicara. Semua. Jadi kami mengambil sikap terbuka.
"Saya tak sebut satu per satu, saya sebut semua," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengesahkan hubungan Bersatu dan Pas kini secara rasmi sudah berakhir susulan tindakan parti Islam itu menamatkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Tegasnya, perpecahan tersebut bukan pilihan Bersatu, sebaliknya keputusan yang dimuktamadkan sendiri oleh kepimpinan Pas.
"Memang kita dengan Pas setakat hari ini masih lagi tidak bekerjasama. Bukan pilihan Bersatu, pilihan Pas.
"Mereka kata perpaduan ummah, tapi ummah macam mana? Ummah terpilih ke, umum dia umat Islam ke? Saya tak faham," bidasnya lagi.
Mengenai kedudukan gabungan Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin mendedahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah hadir ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi mengemukakan lapan pelanggaran utama yang dilakukan pimpinan PN sedia ada.
Menjawab mengenai hala tuju baharu, beliau menegaskan rundingan sedang digerakkan oleh barisan kepimpinan parti, namun belum ada sebarang keputusan muktamad sama ada ia dimeterai sebelum atau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.