Skip to main content

Politik

Kerjasama politik Bersatu-Pas sudah berakhir - Muhyiddin

SERDANG, 27 Ogos -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) hadir pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.
Kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kini disahkan berakhir secara rasmi, sekali gus merungkai tanda tanya mengenai keretakan hubungan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

PETALING JAYA: Kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kini disahkan berakhir secara rasmi, sekali gus merungkai tanda tanya mengenai keretakan hubungan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penamatan hubungan itu diputuskan sepenuhnya oleh parti Islam berkenaan dan bukannya atas kehendak Bersatu.

"Tak perlu saya komen, dah lama dah berlaku. Dah dilakukan oleh Pas. Kita tidak buat keputusan itu.

"Jadi apa pun, dia sudah pun diketahui. Jadi makna memang kita dengan Pas setakat hari ini masih lagi tidak bekerjasama. Bukan pilihan Bersatu, pilihan Pas," katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai retorik penyatuan orang Melayu yang sering dilaungkan sebelum ini, Ahli Parlimen Pagoh itu mempersoalkan keikhlasan Pas dalam menterjemahkan konsep berkenaan.

"Kita pun pegang prinsip perpaduan ummah. Mereka kata perpaduan ummah, tapi ummah macam mana? Ummah terpilih ke, umum dia umat Islam ke? Saya tak faham," bidasnya.

Kemelut dalaman gabungan itu kini memasuki fasa undang-undang apabila Muhyiddin mendedahkan Bersatu telah mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap kepimpinan PN sedia ada di bawah Pas.

Menurutnya, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, telah dipanggil memberi keterangan kepada pihak berkuasa berkenaan dengan menyenaraikan lapan salah laku utama.

"Kita telah kemukakan lapan perkara pokok yang bagi pihak kita telah pun dilanggar dan tak dihormati oleh pimpinan Perikatan Nasional yang ada sekarang.

"Sebab itu kita buat aduan, dan daripada pertemuan itu kita dapati peringkat Pendaftar Pertubuhan mengambil berat kerana ia berlaku berulang kali. Kita serahkan kepada kebijaksanaan RoS dan harap keputusan dapat dibuat dalam tempoh terdekat," tegasnya.

Ekoran perpecahan itu, Muhyiddin memaklumkan Bersatu kini giat merintis rundingan penjajaran politik baharu, termasuk menerima isyarat positif daripada pelbagai pihak demi kelangsungan parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Must Watch Video

Advertisement