EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mencadangkan dan meminta jasa baik YAB Perdana Menteri Malaysia ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar sedia memberi ruang dan mengetengahkan pemimpin muda dari Barisan Nasional (BN), Pas dan juga Perikatan Nasional (PN) lainnya untuk menyertai Kabinet baharu. 

Antara yang saya lihat dan digemari oleh orang muda ialah saudara Shahril Sufian Hamdan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Beliau dilihat begitu mendapat perhatian warga maya di Twitter, Facebook (FB), Instagram dan juga media massa kerana kelantangan beliau dalam berdebat membawa isu-isu rakyat serta sangat berpengetahuan luas dalam bidang ekonomi. 

Seperti juga YAB Perdana Menteri yang memulakan langkah awal sebagai Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada tahun 2008.

Mungkin juga Shahril Hamdan dapat diberikan ruang untuk beliau di sana (Kementeria Belia dan Sukan) sebagai pendedahan awal. Saya yakin anak-anak muda pasti dapat sambut baik kerajaan baharu ini.

Selain beliau, saya juga menyeru pemimpin lainnya seperti YB Shahar Abdullah dari Parlimen Paya; Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin, Ketua Pemuda Pas dan PN dan beberapa pemimpin Puteri serta Srikandi lainnya.

Saya juga menyokong Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki diberikan tugas khas dalam membantu pemulihan ekonomi rakyat serta kesihatan.

Saya amat percaya, sekiranya mereka ini diangkat dan diberikan ruang oleh kepimpinan Perdana Menteri, rakyat akan melihat satu perubahan yang baik dan pasti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak, lebih ramai anak muda akan mengundi parti yang dipimpin oleh kerajaan. 

Saya menyeru agar dapatlah YAB Perdana Menteri menimbang cadangan dan harapan pemimpin-pemimpin muda seperti kami.

Saya ucapkan tahniah dan syabas di atas pelantikan YAB Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan terima kasih kepada semua parti dalam kerajaan kini di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau.

Teruskan usaha memerangi COVID-19 dan segeralah turun padang membantu rakyat dan pulihkan ekonomi negara ke arah landasan yang terbaik.


Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua Pemuda Lembah Pantai