KUALA LUMPUR:Keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak memperkenan permohonan pelaksanaan darurat memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam reaksi susulan kenyataan Istana Negara itu, Guan Eng berkata, ia menzahirkan keprihatinan Tuanku terhadap kegelisahan rakyat sejak kebelakangan ini.

"Keputusan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permohonan perlaksanaan darurat oleh Perdana Menteri kerana tiada keperluan buat masa ini adalah keputusan yang tepat dan disambut dengan rasa syukur oleh semua rakyat Malaysia. Suara rakyat biasa telah didengari.

"Seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, marilah kita seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati melawan wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat menzahirkan penghargaan kepada baginda kerana sentiasa memikirkan perkara yang terbaik untuk kesejahteraan negara.

Dalam ciapan di Twitter Kulasegaran berkata, tiba masanya untuk semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan bekerja bersama-sama untuk membendung penularan COVID-19 di negara ini.


BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara 

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda sebaliknya mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Dalam pada itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam catatan terbaharu di blognya berkata, semua rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat menzahirkan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda atas keputusan itu.

Beliau berkata, sistem Raja Berpelembagaan nyata menjadi tunjang kepada Demokrasi Parlimen di negara ini.

"Kesemua rakyat Malaysia, terutama sekali 221 ahli Parlimen perlu bersatu untuk membentuk “Kerajaan Untuk Semua”, dan bersatu untuk menentang gelombang ketiga pandemik COVID-19 di negara ini.

“Laporan terbaharu menunjukkan pengurangan sebanyak 465 kes COVID-19 (laporan semalam menunjukkan 823 kes dicatatkan berbanding 1,228 kes pada hari sebelumnya). Dan ini perlu menjadi semangat kepada kesemua petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia untuk melipatgandakan usaha meratakan lengkungan COVID-19,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, tumpuan khas harus diberi kepada Sabah, memandangkan ia telah menjadi pusat penularan gelombang ketiga COVID-19.

Pandangan sama turut dilontarkan ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin, yang mahu melihat perjanjian antara kerajaan dan pembangkang dimeterai dalam usaha memerangi COVID-19 dan membina semula ekonomi negara.