KUALA LUMPUR: Pentas kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang tidak hanya terhad di ruang lingkup Parlimen sahaja.

Kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ahmad Masrizal Muhammad, keterbukaan kerajaan untuk mengajak pembangkang bersama dalam melancarkan pentadbiran adalah jendela kepada pelbagai lagi bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Seperti yang dikatakan YB Anthony (Loke), keterbukaan pembangkang juga tidak bermakna mereka akan sertai kerajaan, tidak bererti berada di dalam Kabinet.

“Ini saya lihat sebagai satu daripada elemen keikhlasan di mana lepas ini barangkali akan lebih banyak jawatankuasa-jawatankuasa dalam kerajaan sendiri yang akan benarkan pihak pembangkang untuk berpartisipasi.”

Sebagai latar belakang, 25 Ogos lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencapai kesepakatan dengan ketua-ketua blok pembangkang Pakatan Harapan untuk menjalin kerjasama atas hasrat bersama merawat negara daripada krisis hari ini.

Beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Presiden Amanah) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) bertemu di pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Dr Masrizal percaya dan yakin, kerajaan tidak cuba bermain wayang dengan langkah keterbukaan ini tetapi usaha ikhlas untuk mengajak bersama membawa negara keluar daripada kemelut dan membinanya semula.

“Saya merasakan ini satu permulaan atau ‘political window’ yang baik untuk membolehkan bahawasanya kita mencapai atau pergi ke arah dimensi-dimensi lain.

“Partisipasi positif ini amat perlu dalam konteks untuk menjadikan negara kita lebih baik pada masa akan datang.”

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis yang turut dibarisi Felo Penyelidik Society For Empowerment & Economic Development of Sabah (SEEDS), Rahezzal Shah Abdul Karim dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.

Tonton di sini:


Keterlibatan pembangkang dalam pentadbiran harus menjangkaui Parlimen - Dr. Masrizal


Dialog Tiga Penjuru: 100 Hari | Liga Juara-Juara Rakyat