Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Libaran, Jaffari Waliam bersama 3,144 keluar parti itu, hari ini.

Jaffari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, berkata mereka menjadi ahli bebas dan sebanyak 23 daripada 25 ranting parti itu di Libaran turut menyertainya.

Menurutnya, tindakan itu diambil kerana pihaknya hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menegaskan, tetap menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal biarpun menjadi wakil bebas.

"Pemimpin parti gagal menyatupadukan ahli parti, sebaliknya sibuk dengan cita-cita peribadi untuk menjadi Perdana Menteri tanpa agenda untuk kebaikan akar umbi.

BACA: Anwar ada sokongan majoriti jadi PM - PH

BACA: Setia kepada Azmin, lebih 500 ahli PKR Kelantan keluar parti

"Pemilihan parti yang lalu penuh caca merba dan tidak telus dengan tujuan memberi kelebihan kepada segelintir calon pasukan presiden," katanya dalam sidang media, pada Jumaat.

Menurutnya, kepimpinan parti di cabang itu juga akan cacat dan terpaksa dibubarkan kerana tidak mencukupi anggota untuk membentuk cabang.

Tambahnya, beliau juga berjanji akan terus berkhidmat kepada masyarakat menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).