POLITIK
Ketua Hakim Negara perlu proaktif tekankan kebebasan badan kehakiman - Syahredzan

Syahredzan (gambar) berkata, pelantikan Wan Ahmad Farid merupakan langkah penting yang membuka lembaran baharu buat institusi kehakiman negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disaran untuk mengambil langkah proaktif dalam menekankan tentang betapa pentingnya kebebasan badan kehakiman di negara ini.
Ringkasan AI
- Pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara disambut dengan harapan agar beliau memperkukuh kebebasan badan kehakiman dan meneruskan legasi Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
- Beliau disaran mengambil langkah proaktif termasuk menarik diri daripada kes berisiko konflik kepentingan dan memulakan prosiding terhadap dakwaan salah laku hakim demi menjaga integriti institusi kehakiman.
- Kenyataan beliau pada 2017 -Kebebasan badan kehakiman mesti dipertahankan walau dengan apa jua cara- terus dijadikan pedoman dalam usaha menegakkan keadilan dan menolak campur tangan politik.
"Wan Ahmad Farid juga wajar untuk memulakan prosiding yang relevan mengikut undang-undang terhadap dakwaan salah laku mana-mana hakim, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dan juga Judges’ Code of Ethics 2009, susulan apa yang disebut sebagai kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
"Ini penting untuk memulihkan keyakinan umum terhadap institusi kehakiman yang sedikit tercalar mutakhir ini," katanya.
Bagaimanapun katanya, pelantikan itu turut disambut dengan reaksi pelbagai dalam kalangan rakyat.
Ini memandangkan latar belakang Wan Ahmad Farid yang pernah terlibat dalam politik kepartian serta isu kekananan berbanding beberapa hakim lain yang lebih lama berkhidmat.
"Wan Ahmad Farid pernah beberapa kali sebelum ini dalam menarik diri daripada mendengar kes-kes yang melibatkan konflik kepentingan dirinya dengan bekas partinya. Dalam alasan yang diberikan untuk menarik diri, Datuk Wan Ahmad Farid telah menekankan tentang betapa pentingnya kebebasan badan kehakiman," katanya.
Sehubungan itu tambahnya, rakyat berharap Wan Ahmad Farid dapat meneruskan legasi kepimpinan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam memastikan bahawa badan kehakiman akan terus bebas daripada campur tangan pihak luar.
Syahredzan turut mengingatkan kata-kata Wan Ahmad Farid sendiri sewaktu beliau menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada tahun 2017 yang perlu terus dijadikan pedoman: “The independence of the judiciary must be defended at any cost (kebebasan badan kehakiman mesti dipertahankan walau dengan apa jua cara.).”
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami