Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Datuk Saifuddin Abdullah menolak kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang yang menyifatkan PAS suatu 'masalah'.

Katanya, kewujudan parti Islam tersebut bukan lah satu isu kerana mereka selama ini telah berjuang mengikut proses demokrasi.

"Dalam politik kita lawan, tetapi tidak boleh anggap kewujudan PAS sebagai suatu masalah," kata bekas ahli Parlimen Temerloh (BN-Umno) itu ketika dihubungi Astro AWANI.

Saifuddin dalam Twitternya telah membidas kenyataan Tan sambil mengatakan beliau tidak bersetuju bahawa PAS merupakan suatu masalah.

Meskipun begitu, beliau berkata terus menentang parti tersebut kerana perbezaan dasar yang diterapkan parti masing-masing.

Beliau juga tidak menolak bahawa terdapat antara ahli PAS yang menerapkan nilai moderat serta terbuka kepada perbincangan.

"Sebab kita dua parti yang berbeza dan kita ada dasar yang berbeza. Bila tiba pilihan raya kita perlu teruskan proses saingan itu.

"Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh berjumpa atau tidak boleh berbincang," tegas Saifuddin.

Kenyataan tersebut bagaimanapun telah mendapat tentangan dari Tan. Beliau telah menyifatkan kenyataan tersebut sebagai 'bercanggah'.

"Jika dia merasakan PAS bukan masalah, ia suatu yang bercanggah. Saifuddin harus membuat keputusan... jika dia merasakan PAS adalah baik, maka dia harus menyertai PAS," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, PAS tidak sesuai berada di Putrajaya kerana dakwanya mereka akan memaksa rakyat untuk menerima cara mereka.

"Berdasarkan apa yang saya lihat di Kedah dan Kelantan, cara mereka (PAS) beroperasi, saya tidak rasa mereka sesuai.

"Mereka memaksa orang ramai untuk menerima apa yang mereka rasa betul," kata Tan.

Tambahnya lagi, sekutu mereka di dalam Pakatan Rakyat pun sudah tidak boleh menerima mereka berdasarkan apa yang berlaku baru-baru ini berkaitan isu perlantikan Menteri Besar Selangor dan juga hudud.

Terdahulu, kenyataan Tan yang menyifatkan PAS sebagai 'masalah' telah menerima bantahan daripada Saifuddin di Twitter.

Saifuddin berkata, walaupun beliau akan terus mengkritik PAS, tetapi dia tidak bersetuju apabila Tan berkata parti itu merupakan masalah.