TEMERLOH: Kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada Mesyuarat Tertinggi yang dijadualkan malam esok.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara berkaitan keanggotaan dalam gabungan berkenaan akan diperhalusi dalam mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini komposisi PN kekal seperti sedia ada melibatkan Bersatu, Pas, Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
“Tunggu esoklah, mesyuarat dan antara agenda yang penting ialah keanggotaan dalam PN,” katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kuala Krau Kali Ke-40 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di sini pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan terdapat Ahli Parlimen Bersatu mendesak agar Bersatu keluar daripada gabungan PN.
Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sidang media pada 13 Jun menegaskan hubungan partinya dengan Bersatu sudah berakhir, sekali gus menyerahkan kepada Bersatu untuk menentukan sama ada mahu kekal dalam PN atau sebaliknya.
Pada 16 Jun lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, parti itu memutuskan untuk terus kekal dalam PN dan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan tidak ada sebab Bersatu keluar daripada gabungan itu dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh menyingkirkan Bersatu daripada PN.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan sebarang keputusan berkaitan Bersatu adalah tertakluk kepada parti berkenaan.
“Itu terpulang kepada Bersatu. Setakat yang melibatkan PN, komposisinya adalah sebagaimana yang sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai persiapan PN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, Ahmad Samsuri memaklumkan, pihaknya masih belum memuktamadkan pengagihan kerusi.
"Buat masa ini belum lagi, tapi kita akan selesaikan sebelum hari penamaan calon," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 Jun untuk hari penamaan calon PRN Johor, manakala bagi PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai. - Sinar Harian