PETALING JAYA: Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang dirancang diadakan pada 29 Okt telah dianjakkan kepada 20 Okt, hari yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi PH Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata konvensyen pada 20 Okt itu masih bertempat di Perak, namun lokasinya akan dimaklumkan kemudian.

"Jadi kalau di sebelah petang SPR akan umum tarikh (berkaitan PRU15), malam itu kita akan sambut dengan satu konvensyen di Perak," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di sini semalam.

Pada 8 Okt lepas, Pengerusi PH Perak Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan Konvensyen PH akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC), Perak pada 29 Okt.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 20 Okt ini untuk membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pengumuman itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA