'Lagi ditekan, lagi kuat penyatuan ummah' - Dr Akmal Salleh

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal mencabar DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda penyatuan ummah meskipun berdepan kritikan dan tentangan daripada pelbagai pihak.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Akmal mempersoalkan reaksi penegrusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang disifatkan sebagai terlalu beremosi apabila isu penyatuan ummah dibangkitkan.
“Tengah kepanasan ke bila kami bercakap tentang penyatuan ummah ni? Lagi kamu panas, lagi kami suka.
“Saya bukanlah sesiapa, tapi hanya seorang anak kampung Melayu Islam seperti yang lain yang akan pertahankan agama, bangsa dan tanah air ini waima dengan nyawa sendiri,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh dakwaan bahawa Muafakat Nasional (MN) telah gagal, sambil menegaskan tiada sebab untuk mana-mana pihak berasa bimbang sekiranya usaha menghidupkan semula gabungan tersebut diteruskan.
Akmal menegaskan pihaknya akan terus bergerak dengan agenda penyatuan ummah, sambil menggesa pihak lain meneruskan pendirian masing-masing tanpa rasa gusar.
Pada Sabtu, Dr Akmal mencabar DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Dr Akmal membuat kenyataan itu ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Susulan itu, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah dari DAP, menerusi satu hantaran di Facebook pada hari sama menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sekiranya Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka dibubarkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


