Pelantikan Rafizi Ramli sebagai naib presiden PKR dan beberapa nama lain menduduki jawatan utama dalam parti merupakan langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkuatkan kedudukannya sebagai presiden parti.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berpendapat, Anwar memerlukan pemimpin yang boleh bekerjasama dengan beliau dalam satu pasukan untuk menguruskan parti.

Dr Mazlan berkata pemilihan Rafizi, Chang Lih Kang, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan beberapa nama pada pendapar beliau, adalah usaha Anwar untuk mengimbangi kekuatan pasukan Datuk Seri Azmin Ali dalam PKR.

"Rafizi merupakan seorang pemimpin yang berusaha mengukuhkan laluan Anwar sebagai perdana menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apa yang dilakukan oleh Rafizi adalah untuk menjayakan persefahaman yang telah dibuat dalam Pakatan Harapan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Kenapa lantik individu yang pecahkan parti? Soal Azmin kepada Anwar

BACA: Rafizi Ramli dilantik Naib Presiden PKR

Pada Jumaat, Anwar selaku presiden PKR mengumumkan pelantikan Rafizi bersama bersama Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju untuk mengisi jawatan naib presiden parti itu.

Mengikut perlembagaan PKR, jawatan naib presiden adalah sembilan orang dengan empat daripadanya dipilih menerusi pemilihan parti manakala ketua sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita masing-masing mendapat satu kuota.

Tiga lagi kekosongan jawatan naib presiden dibuat secara lantikan berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Mengulas lanjut, Dr Mazlan Ali berkata, ketika Pilihan Raya Kecil Port Dickson amat jelas kelihatan hanya pemimpin yang dilihat pro Anwar bersungguh-sungguh berkempen.

Manakala pemimpin yang dilihat berada dalam pasukan Azmin pula mempertikaikan langkah mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson untuk diadakan pilihan raya kecil.

"Banyak kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin yang dikaitkan dengan Azmin mengenai Pilihan Raya Kecil Port Dickson jelas tidak sehaluan dengan Anwar.

"Ada kenyataan yang mengatakan langkah mengosongkan kerusi Port Dickson itu tidak sesuai dan ia bercanggah dengan hasrat pihak yang bersama Anwar," katanya lagi.

Kesimpulannya, Dr Mazlan berkata langkah Anwar memilih Rafizi dan beberapa nama lagi untuk mengisi jawatan lantikan adalah untuk menjadikan PKR sebagai sebuah parti yang boleh dipimpinnya dengan kepimpinan yang selari dengan aspirasi beliau sebagai presiden dan bakal perdana menteri.