KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bertindak keluar daripada parti mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Mereka terdiri daripada ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tempasuk), dan Datuk Hamild Hamid Awang (Balung).

Selain mereka, tiga lagi bekas ADUN Warisan masing-masing Mohammad Mohamarin (Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); serta Norazlina Arif (Kunak) turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat.

Ketika mengumumkan perkara itu di Kota Kinabalu, Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah berkata, tindakan mereka keluar parti itu dibuat kerana mengambil kira hala tuju politik selain perlunya sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil, bersatu padu untuk mencapai pembangunnan serta kemajuan negeri.

"Sedar bahawa pemimpin-pemimpin Sabah perlu bersatu di bawah satu parti tempatan untuk terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan melaksanakan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Selain itu mereka menginsafi bahawa perpecahan dan sengketa berpanjangan telah membantutkan ekonomi negeri Sabah dan percaya kestabilan politik adalah kunci utama keyakinan pelabur tempatan dan luar untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu pada Selasa.

Tambah Yusof, beliau bersama sembilan lagi ADUN dan pemimpin dari berbagai latar belakang turut mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan yang diterajui beliau.

"Kami memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah," tegasnya.

Selain itu, Yusof berkata, pihaknya bersedia dengan sebarang tindakan yang diambil ke atas kesemua mereka yang bertindak keluar parti.

Malah ketika ditanya sama ada tindakan mereka ini ada kaitan dengan krisis atau usaha menolak Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, Yusof berkata keputusan ini tiada kaitan dengan pergolakan tersebut.

"Tiada, ini adalah kerelaan kami. Cukup-cukuplah dengan krisis-krisis yang ada dan kita melihat jauh ke hadapan demi kestabilan politik, pembangunan dan rakyat Sabah.

"Rakyat tidak mahu ada krisis. Malah kita inginkan ialah kebajikan rakyat dan isu-isu melibatkan mereka seperti (harga barang turun, jalan rakyat) dan mereka mahukan pembangunan serta peluang pekerjaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Yusof berkata, beberapa lagi pemimpin UMNO akan mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat.

Difahamkan ia termasuk bekas ADUN Kemabong, Datuk Jamawi Jaafar.

"Akan banyak lagi gerakan-gerakan atau mereka yang menyertai (Gagasan Rakyat). (Mereka) akan keluar daripada kepompong lama untuk menyertai dan bersama-sama kita.

"Saya juga sebagai wakil jurucakap di sini untuk memaklumkan bahawa ramai lagi selepas ini (keluar)," katanya.