POLITICS
MA63: Rundingan tafsiran undang-undang boleh diselesaikan tanpa mahkamah - TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam sesi Bual Bicara Eksekutif sempena Program Jiwa Komuniti MADANI dan Media di Kampung Segedup Kuching, hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu dirujuk ke mahkamah bagi tujuan pentafsiran undang-undang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- Rundingan antara kerajaan Persekutuan dan negeri berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu dirujuk ke mahkamah.
- Sarawak memberi jaminan tidak akan membawa isu ini ke mahkamah dan akan mencari jalan penyelesaian melalui rundingan.
- Lima tuntutan MA63 yang kritikal termasuk kuota kerusi Parlimen, royalti, dan peruntukan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak masih belum diputuskan.
"Kita cuba mengelak daripada menggunakan saluran mahkamah. Kita bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian melalui rundingan secara baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Bual Bicara Eksekutif sempena Program Jiwa Komuniti MADANI dan Media yang di sini, hari ini.
Fadillah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yakin dengan kerjasama erat antara Kerajaan MADANI dan negeri dalam memuktamadkan tafsiran undang-undang berkenaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata terdapat lima tuntutan MA63 yang dikategorikan sebagai kritikal dan belum dapat diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan serta Sabah dan Sarawak.
"Ini termasuk kuota 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, royalti dan formula pertambahan peruntukan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Program Jiwa Komuniti MADANI dan Media yang berlangsung di Dewan Haji Kamaruddin bin Ahmad, Kampung Segedup, di sini bertujuan meningkatkan motivasi diri serta menggalakkan penglibatan aktif ahli Komuniti MADANI dan rakan media dalam memperluas jaringan komunikasi.
Ia turut melibatkan penyertaan Komuniti MADANI dari Parlimen Petra Jaya termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, Samariang dan Satok.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak Helmy Hamid, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros)) Datuk Ibrahim Baki dan ADUN Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami