MARANG: Majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyokong kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang terjalin antara parti itu dengan Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yakin usaha rundingan kerusi bersama UMNO mampu dicapai sekali gus bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Saya difahamkan majoriti ahli MT mahu bekerjasama, jadi UMNO kena ikut pemimpinlah iaitu Majlis Kerja Tertinggi…  bukan ikut (pendirian) bahagian-bahagian.

“Bahagian- bahagian ini akar umbi, lain cerita… kita tak boleh pakai demokrasi barat, kita ikut kepimpinanlah, majoriti kepemimpinan UMNO adalah bersama untuk kita bersatu,” kata Abdul Hadi ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini.

Terdahulu, Muzakarah Majlis Syura Ulama Pas memutuskan untuk terus memperkasa MN dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan parti politik Islam demi kepentingan agama serta negara.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas juga akan melakukan rundingan kerusi semaksimum mungkin bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Sementara Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula menjelaskan, sudah ada keserasian dengan gagasan MN dan kerjasama baik antara UMNO-Pas itu wajar diteruskan.